Taklimat KDB- Berwaspada Terhadap Teknik-Teknik Scam Baru “Petua Keselamatan Membeli-Belah Atas Talian untuk Mengelakkan Ditipu Oleh Scammer”
24 Februari 2023 | Aktiviti TerkiniPada 23 Febuari 2023, Khamis yang lalu - PEDi Lawang telah bekerjasama dengan PEDi Kajang Sebidang, PEDi Kg. Karangan dan PEDi Repek dalam satu sesi perkongsian secara langsung di Streamyard dan FB untuk mengupas topik Berwaspada Terhadap Teknik-Teknik Scam Baru “Petua Keselamatan Membeli-Belah Atas Talian Untuk Mengelakkan Ditipu Oleh Scammer”. Taklimat ini dijalankan selama satu (1) jam dua puluh (20) minit bermula jam 10.20 pagi hingga 11.40 pagi.
Antara topik-topik yang dikupas dalam taklimat KDB ini ialah QR Scam, Scam Pekerjaan, Mencuri Maklumat Peribadi/ Akaun Bank, Scam Pembayaran, Scam Akaun Dicuri, Scam menggunakan Parcel, Scam Pusat Penjual Palsu (Untuk Shopee Seller), dan yang terakhir ialah Scam Mesej Peribadi.
Jangan tertipu dengan muslihat penjual yang menawarkan barangan dengan harga lebih rendah melalui pembayaran QR ataupun di luar aplikasi Shopee. Jangan membuat transaksi di luar aplikasi Shopee dan pastikan semua pembayaran dibuat dalam aplikasi Shopee. Laporkan penjual tersebut kepada pihak Shopee sekiranya anda dikehendaki membuat transaksi di luar aplikasi Shopee. Selain itu, anda dinasihatkan jangan sekali-kali berkongsi nombor OTP, butiran kad debit/kredit atau sebarang jenis maklumat akaun bank melalui mesej teks atau panggilan telefon. Anda juga dinasihatkan berwaspada dengan pautan daripada pihak yang tidak dipercayai atau iklan pop-up yang akan menyebabkan anda ke laman web phishing untuk mendapatkan maklumat peribadi anda, terutamanya di laman web yang meminta maklumat perbankan untuk “giveaway”.
Shopee tidak pernah mengupah mana-mana individu menggunakan platform pesanan. Shopee juga mengesahkan bahawa tiada jawatan “Ejen Pembelian Atas Talian” dalam organisasi Shopee. Shopee tidak akan meminta bayaran pendahuluan atau deposit sebagai syarat untuk bekerja dengan Shopee. Jangan berkongsi maklumat peribadi anda dengan sesiapapun. Mahupun kawan atau ahli keluarga, penipu mungkin menggodam akaun dan menyamar sebagai rakan atau ahli keluarga anda. Anda digalakkan jangan berkongsi maklumat seperti nama penuh, nombor IC, alamat rumah, maklumat kad atau bank anda. Sekiranya rakan atau ahli keluarga anda meminta wang atau apa-apa bentuk “pertolongan” dengan segera, telefon mereka secara peribadi untuk mengesahkannya. Jangan sekali-kali berkongsi apa-apapun di atas talian melainkan anda benar-benar yakin.
Sekiranya berlaku, tangkap skrin perbualan tersebut sebagai bukti untuk melaporkan kepada pihak berkuasa. Sekat nombor tersebut untuk mengelakkan mereka terus menggangu anda. Sekiranya anda masih tidak pasti tentang sesuatu, sila semak dengan pihak berkuasa. Anda diingatkan bahawa saluran sah yang betul adalah kaedah terbaik untuk mendapatkan maklumat. Sekiranya anda telah mengalami aktiviti atas talian yang mencurigakan, kami menggalakkan anda untuk menfailkan laporan polis di balai polis yang berdekatan.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: