Bual Bicara Pendidikan: PPKI – Program Pendidikan Inklusif di SK Sri Kiambang
16 Mac 2023 | Aktiviti TerkiniRabu – 15 Mac 2023, PEDi Lawang dan PEDi Repek sekali lagi kali berpeluang bekerjasama dengan Puan Siti Suraida, 42 iaitu seorang tenaga pengajar bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang (SKSK) yang berbesar hati untuk berkongsi mengenai Program Pendidikan Inklusif yang melibatkan murid PPKI di SK Sri Kiambang. Siaran langsung yang disiarkan melalui Live StreamYard Facebook ini bermula pada jam 1 petang sehingga 2 petang.
Siaran langsung yang berlangsung selama satu jam ini memberi tumpuan kepada tujuan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang di anjurkan dalam Program Pendidikan Inklusif atau lebih dikenali sebagai PPI ini. Menurut beliau, kelas ini bertujuan memperkenalkan apa itu PPI yang masih terasa asing dalam kalangan ibubapa dan masyarakat hari ini. Beliau menjelaskan bahawa PPI ini adalah suatu penyertaan yang merangkumi bukan sahaja murid tipikal tetapi juga murid berkeperluan pendidikan khas pembelajaran (MBPK) dalam sesuatu komuniti sekolah dan ianya merupakan suatu proses pengintegrasian MBPK ke dalam bilik darjah yang biasa. Jadi, program ini dianjurkan adalah untuk meningkatkan penyertaan dan memberi peluang kepada MBPK mengikuti program akademik dan bukan akademik bersama-sama murid di arus perdana. PPI juga memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak menafikan potensi MBPK dan percaya bahawa ketidakupayaan mereka boleh diminimakan jika diberi peluang yang sama.
Selain itu, terdapat dua jenis program inklusif iaitu inklusif penuh dimana MBPK belajar secara sepenuh masa bersama-sama murid arus perdana dan juga mengikuti pembelajaran bagi semua mata pelajaran akademik berasaskan kurikulum kebangsaan atau kurikulum kebangsaan yang diubahsuai dengan bantuan atau tanpa bantuan perkhidmatan sokongan. Seterusnya adalah program inklusif separa iaitu murid berkeperluan khas belajar bersama-sama murid arus perdana bagi mata pelajaran akademik atau aktiviti ko-akademik atau aktiviti ko-kurikulum tertentu sahaja mengikut keupayaan mereka.
Justeru itu, ibu bapa dinasihatkan sekiranya mempunyai anak-anak berkeperluan khas, ibu bapa perlu menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang mempunyai kelas PPKI ini. Oleh itu, staf PEDi berharap dengan segala perkongsian daripada cikgu PPKI SK Sri Kiambang ini memberi manfaat kepada seluruh komuniti agar cakna dengan program PPI yang mempunyai banyak kelebihan ini.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: