Ibu Bapa Cakna Keselamatan Anak Di Rumah
24 Jun 2022 | Aktiviti TerkiniPada 23 Jun 2022, PEDi Lawang telah bekerjasama dengan PEDi Repek dalam satu sesi perkongsian live di Facebook untuk mengupas berkaitan topik “Ibu Bapa Cakna Keselamatan Anak di Rumah” menggunakan aplikasi StreamYard live di Facebook Pusat Ekonomi Digital Kg. Lawang. Pihak PEDi memilih topik “Ibu Bapa Cakna Keselamatan Anak di Rumah” kerana ia menjadi topik semasa pada masa kini untuk memberi panduan kepada ibu bapa mengenali apa itu keselamatan anak-anak di rumah agar anak-anak tidak terus menjadi mangsa keadaan. Meskipun kebanyakan kanak-kanak kini menghabiskan masa di dalam rumah, ia bukan menjanjikan persekitaran itu selamat. Banyak faktor menyebabkan kanak-kanak boleh terdedah dengan pelbagai kemalangan dan risiko kecederaan termasuk di rumah. Pakar Pediatrik Hospital Pantai Cheras, Dr Kelvin Chee Chun Lin tidak menafikan berlakunya beberapa kecederaan dalam kalangan kanak-kanak ketika berada di rumah. "Dengan keadaan sekarang yang mana kanak-kanak lebih lama di rumah, walaupun sepatutnya selamat ada kemungkinan rumah boleh mengundang bahaya. "Kecederaan bukan sengaja seperti kemalangan luar jangka yang berlaku dalam rumah dan ia antara punca kematian utama kanak-kanak seluruh dunia.
"Kebanyakan kes membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah kerana pada usia berkenaan mereka masih belum mengenali erti bahaya". Kanak-kanak didorong perasaan ingin tahu yang tinggi boleh menyebabkan kanak-kanak berkenaan merisikokan diri tatkala berada dalam rumah. Beberapa kemalangan atau kecederaan kerap dilaporkan sering berlaku di rumah antaranya luka disebabkan peralatan tajam, terkena benda panas, kejutan elektrik dan sebagainya. Perkongsian dari staf PEDi kali ini bukan bertujuan membentuk ibu bapa yang paranoid atau begitu mengawal ketat pergerakan anak kecil mereka, sebaliknya untuk persediaan awal terhadap aspek keselamatan perlu diamalkan dalam rumah supaya perkembangan harian anak-anak berlangsung dalam keadaan selamat. Staf juga berkongsi tip yang boleh dilakukan oleh ibu bapa apabila berlakunya kemalangan di rumah. Antara tip yang dikongsikan iaitu apabila berlakunya kemalangan berkaitan luka akibat terkena peralatan tajam, terkena objek panas, kejutan elektrik, lemas, termakan racun, benda asing tersumbat atau tertelan, dan akhir sekali tip apabila anak terjatuh.
Staf PEDi berharap dengan segala perkongsian yang diberikan memberi manfaat kepada seluruh komuniti agar sentiasa berwaspada walaupun ketika berada di rumah.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: