Kelas Keusahawanan “Invois Menggunakan Aplikasi Invoice Home”
18 Februari 2022 | Aktiviti TerkiniPada Sabtu 17 Februari 2022 Pusat Ekonomi Digital Kg. Lawang telah mengikuti slot Keusahawanan dengan kerjasama PEDi Repek dan PEDi Bukit Tandak secara langsung menggunakan Live StreamYard di Facebook yang bertajuk Kelas Keusahawanan: Invois Menggunakan Aplikasi Invoice Home. Kelas ini memfokuskan tentang langkah-langkah membuat invois menggunakan aplikasi atas talian bagi urusan jual beli yang lebih teratur dan sistematik. Aplikasi ini sangat efisien untuk digunakan dengan hanya menggunakan telefon bimbit sahaja berbanding menggunakan perisian Microsoft Excel atau Microsoft Word untuk menyediakan invois kepada para pelanggan walau dimana sahaja anda membuat urusan jual beli.
Kakitangan PEDi telah memberi penjelasan berkenaan invois yang mungkin belum diketahui atau difahami oleh masyarakat setempat. Invois merupakan satu dokumen penting yang menyenaraikan barang-barang atau perkhidmatan yang dibekalkan kepada pelanggan dan menyatakan jumlah wang yang perlu dibayar oleh pelanggan. Invois juga dinyatakan sebagai nota serahan atau tagihan dalam sesebuah urusan jual beli. Kebiasaannya, invois disediakan dalam tiga salinan, satu salinan asal dihantar kepada pembeli dan dua salinan lain digunakan oleh penjual sebagai rujukan atau sumber rekod perakaunan. Selain itu, pembeli akan merekodkan butir-butir invois dalam Jurnal Belian manakala penjual merekodkan butir-butir invois dalam Jurnal Jualan. Jadi, invois ini sangat penting bagi memastikan sistem perakaunan sesebuah perniagaan menjadi lebih tersusun.
Kelas kali ini juga memberi tunjuk ajar kepada para penonton secara langsung di Facebook PEDi Lawang tentang maklumat-maklumat yang perlu diisikan bagi membuat satu invois yang lengkap menggunakan aplikasi Invoice Home yang diperkenalkan. Antara butiran-butiran invois yang perlu dimasukkan adalah tarikh pengeluaran invois, nombor invois, nama dan alamat kedua-dua pihak terbabit butiran barangan atau perkhidmatan yang menjadi objek urus niaga, termasuk jumlah, harga unit dan jumlah yang dibayar, diskaun, cukai, tarikh akhir pembayaran, terma dan syarat pembayaran sistem pembayaran pilihan seperti tunai, kredit, atau menggunakan kad debit dan sebagainya. Aplikasi ini dapat memudahkan para usahawan memantau keadaan akaun semasa perniagaan mereka secara atas talian tanpa perlu risau akan kehilangan atau kecelaruan sistem pendokumen kerana ianya akan disimpan secara automatik.
Justeru itu, kakitangan PEDi amat mengalu-alukan kunjungan masyarakat yang berminat untuk ceburi bidang perniagaan secara atas talian bagi menyertai kelas-kelas yang dianjurkan untuk usahawan yang baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan. Kami amat menantikan kunjungan usahawan setempat dan berbesar hati untuk membantu komuniti meningkatkan pendapatan serta meluaskan empayar perniagaan mereka dimasa hadapan.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: