Bicara Pagi KDB Dengan Tajuk Kemurungan Bersama PEDi
14 Jun 2022 | Aktiviti TerkiniPada 13 Jun 2022, bersamaan hari Isnin, pihak PEDi Kg Lawang telah menyertai program Bicara Pagi KDB dengan membawakan tajuk Kemurungan. Program ini adalah anjuran PEDi Kg Batu Gajah dengan usahasama PEDi Karangan, PEDi Repek dan juga PEDi Lawang. Sesi yang berlangsung dari jam 10.45 pagi hingga 12.00 tengahari ini membicarakan tentang isu kemurungan dalam kalangan masyarakat pada masa kini.
Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa 2 minggu. Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau ber tahun-tahun. Antara punca kepada kemurungan adalah pernah mengalami kemurungan pada masa lepas, mempunyai ahli keluarga yang menghidap kemurungan, menghidap penyakit kronik (Kanser, Diabetes, Hipertensi, Sakit Buah Pinggang, Strok, Sakit Jantung atau kesakitan berpanjangan). Hilang anggota tubuh badan secara tiba-tiba atau kematian orang yang disayangi secara tiba-tiba juga boleh menjadi punca kepada kemurungan selain daripada isu perceraian dan masalah rumahtangga.
Staf PEDi juga turut mengupas penyebab kepada berlakunya kemurungan. Antaranya adalah corak pemikiran; terdapat corak tertentu dalam pemikiran yang boleh mencetus kemurungan. Ini termasuklah bagaimana persepsi kita kepada diri sendiri, kehidupan dan dunia keseluruhannya. Stress juga berupaya mencetuskan episod kemurungan sekiranya tidak dikawal. Bagi menangani kemurungan, penggunaan ubat ‘Anti-depressant’ boleh digunakan dengan saranan doktor, menyertai Terapi elektrokonvulsif (ECT), berjumpa dengan ahli Psikoterapi atau kaunseling bersama kaunselor yang bertauliah. Penyakit kemurungan boleh dirawat, dan lebih 80% daripada pesakit dapat disembuhkan sepenuhnya dengan rawatan yang teratur dan intensif. Semoga perkongsian pagi ini memberi manfaat kepada semua.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: