Perkongsian Tahun Baru, Azam Baru Bersama PEDi
12 Januari 2022 | Aktiviti TerkiniPada 11 Januari 2022, dari jam 10.40 pagi hingga 11.40 pagi PEDi Lawang telah bekerjasama dengan PEDi Batu Gajah, PEDi Repek, PEDi Karangan dan PEDi Selising dalam satu perkongsian selama satu (1) jam dengan tajuk azam baru sempena tahun baru 2022. Umumnya,azam baru sudah sinonim dalam kalangan masyarakat setiap kali menjelang malam tahun baru dengan ucapan dan pelbagai keraian lain sebagai tanda kemenangan melepasi pelbagai ujian sepanjang tempoh tersebut. Dalam perkongsian tersebut pihak PEDi menerangkan serba sedikit perlukah azam baru dalam setiap diri individu, antara azam paling popular dalam kalangan masyarakat dan beberapa tips dalam memastikan azam tersebut tercapai. Maksud azam baru mengikut beberapa falsafah dan carian internet adalah kemahuan/keinginan/cita-cita yang ingin dicapai oleh seseorang dengan bersungguh-sungguh dalam mencapai azam baru tersebut dalam tempoh satu tahun. Pihak PEDi juga menyatakan kepentingan azam baru adalah sebagai panduan perancangan selain menjadikan seseorang lebih berdisiplin dan sentiasa bersemangat dalam mencapai target atau cita-cita yang diimpikan dalam tempoh tersebut.
Antara tips yang dicadangkan kepada komuniti dalam melaksanakan matlamat adalah dengan meletakkan target pada diri sendiri, keluarga, agama dan pada kerja atau perniagaan kita. Dari sini kita akan sentiasa fokus kepada apa yang kita mahu dalam hidup kita dan akan sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat tersebut. Pihak PEDi juga menekankan kepada komuniti agar sentiasa bersyukur setiap kali matlamat kita tercapai dalam mendidik diri sentiasa merendah diri dan yakin kepada setiap pertolongan ALLAH.
Pihak PEDi juga turut memberi semangat kepada mereka yang berazam tetapi tidak tercapai dengan meneruskan azam tersebut ke tahun hadapan dengan lebih bersemangat. Jangan kita hanya berazam tetapi tidak berusaha mencapainya seperti pepatah “hangat-hangat tahi ayam’, tetapi biarlah seperti ‘Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’. Hal ini menjadikan kita orang yang sentiasa positif, bermatlamat dan bersyukur dalam apa jua yang kita perolehi. Semoga perkongsian tersebut dapat memberi semangat kepada komuniti agar menjadi masyarakat yang bermatlamat walaupun tinggal di kawasan pedalaman.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: