Pengurusan Kerja Berkumpulan oleh Koperasi UMK Berhad bersama Staf PIK Maxis Kelantan
23 Oktober 2021 | Aktiviti TerkiniKerja dalam kumpulan adalah tindakan atau proses menyebabkan sekumpulan orang bekerja bersama secara berkesan sebagai satu pasukan, terutamanya melalui aktiviti dan acara yang direka untuk meningkatkan motivasi dan menggalakkan kerjasama. Pembinaan pasukan dalam sesebuah organisasi dapat menyatukan orang ramai dengan menggalakkan kerjasama dan kerja berpasukan. Pembinaan pasukan di tempat kerja ialah proses mewujudkan pasukan yang bekerjasama secara padu ke arah matlamat yang sama. Kepentingan dan tujuan utama pembinaan pasukan adalah untuk mewujudkan pasukan yang kuat melalui membentuk ikatan dan perhubungan.
Bagi mengupas topik ini, pihak Koperasi UMK Berhad telah mengadakan kursus Latihan Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi (Siri III) untuk semua staf Pusat Internet Komuniti Maxis Kelantan bagi meningkatkan motivasi serta semangat kerja berpasukan di dalam diri mereka sepanjang melakukan tugas di Pusat Internet Komuniti (PIK). Pengurus dan Penolong Pengurus PIK bagi 16 buah PIK di Kelantan telah menyertai kursus tersebut yang telah berlangsung selama empat (4) jam iaitu pada 22 Oktober 2021 yang diadakan secara atas talian menggunakan medium Google Meet bermula jam 8.30 pagi sehingga 12.00 tengahari. Seramai 32 peserta telah menghadiri kursus ini yang merangkumi keseluruhan 16 buah Pusat Internet Komuniti (Maxis) di seluruh Kelantan dengan tajuk Pengurusan Kerja Dalam Kumpulan.
Kursus pada hari ini telah disampaikan oleh Prof Madya Dr. Ghazali Ibrahim yang juga merupakan seorang pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan, UMK. Pada permulaan kursus, Prof Madya Dr. Ghazali Ibrahim telah membentuk lima (5) buah pasukan yang terdiri daripada kalangan semua peserta. Terdapat tiga daripada empat aktiviti atau mengikut kaedah di dalam Model Pengurusan Kerja Dalam Kumpulan Tukman yang dijalankan sepanjang sesi itu berlangsung tadi. Aktiviti yang pertama adalah “Forming” di mana sesi pertama adalah dikategorikan sebagai aktiviti suaikenal di dalam kumpulan. Aktiviti yang kedua pula adalah “Storming” di mana para peserta diberikan situasi seekor kucing yang hampir lemas di dalam sebatang sungai yang aliran airnya sangat deras. Para peserta diminta berbincang di dalam kumpulan cara untuk menyelamatkan kucing tersebut.
Aktiviti yang ketiga adalah “Norming”. Di dalam tahap ini kebiasaannya ahli bersetuju mengenai peranan dan proses untuk menyelesaikan masalah. Keputusan dibuat melalui perundingan dalam kumpulan. Di dalam aktiviti ini para peserta diberikan tajuk masing-masing yang harus dibincangkan untuk mengelolakan sebuah program. Kesemua aktiviti yang dijalankan haruslah dibentangkan. Tahap yang akhir “Performing” tidak dapat dilaksanakan memandangkan masa kursus yang singkat. Tetapi Prof Madya Dr. Ghazali Ibrahim telah menerangkan kepada para peserta maksud “Performing” di mana ahli pasukan dapat mencapai hasil yang berkesan dan memuaskan. Di tahap ini ahli dapat mencari jalan keluar untuk masalah yang diusahakan oleh ahli secara kolaboratif. Mereka juga saling bergantung kepada ahli satu sama lain.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: