Tutorial Pendaftaran i-Citra Secara Langsung
13 Julai 2021 | Aktiviti TerkiniPada 12 Julai 2021, Isnin yang lalu, Pusat Internet Komuniti (PIK) Lawang telah mengadakan Tutorial Pendaftaran iCitra yang dijalankan secara atas talian selama 30 minit yang bermula pada pukul 2.30 petang hingga 3.00 petang. Tujuan program ini dijalankan adalah untuk menyampaikan info terkini berkaitan pengeluaran duit KWSP (iCitra) bagi ahli yang terkesan akibat pandemik Covid19 yang melanda dunia sekarang. iCitra adalah kemudahan kewangan tambahan kepada ahli KWSP yang terkesan. Permohonan hanya secara dalam talian melalui portal i-Citra Online. Bagaimanapun, portal ini hanya boleh diakses bermula 12 Julai 2021 hingga 30 September 2021.
Pengeluaran i-Citra diperkenalkan untuk memberi kemudahan kewangan tambahan kepada ahli yang terkesan akibat PKP bagi memenuhi keperluan asas untuk kelangsungan hidup mereka. Individu yang layak untuk memohon adalah ahli KWSP yang berumur 55 tahun ke bawah, termasuk bukan warganegara dan pemastautin tetap; dan mempunyai jumlah simpanan sekurang-kurangnya RM150 dalam Akaun KWSP pada tarikh permohonan. Anggota perkhidmatan awam boleh memohon i-Citra. Walau bagaimanapun, mereka berkemungkinan akan berdepan dengan risiko menggunakan syer kerajaan yang perlu dikembalikan kepada kerajaan kelak.
Amaun kelayakan pengeluaran adalah sehingga maksimum RM5,000. Bayaran bulanan akan dibuat sehingga lima (5) bulan dan bayaran yang ditetapkan adalah RM1,000 sebulan atau tertakluk kepada jumlah baki simpanan. Bayaran minimum adalah RM50 dan ahli harus meninggalkan baki sekurang-kurangnya RM100 dalam Akaun 1. Amaun kelayakan pengeluaran adalah berdasarkan jumlah simpanan ahli pada tarikh permohonan diproses setelah ditolak bayaran i-Sinar yang akan datang (jika ada). Bayaran i-Citra akan menggunakan sepenuhnya simpanan dalam Akaun 2 terlebih dahulu. Sekiranya ia tidak mencukupi, simpanan dalam Akaun 1 akan digunakan.
Amaun maksimum RM5,000 bertujuan membantu ahli untuk menampung kelangsungan hidup dengan mengimbangi keperluan simpanan persaraan. Simpanan minimum RM100 perlu dikekalkan dalam Akaun 1 agar dapat mengekalkan status sebagai ahli KWSP. Bayaran bagi Pengeluaran i-Citra akan dibayar secara pengkreditan terus ke dalam akaun bank ahli. Pastikan syarat-syarat di bawah dipenuhi bagi memastikan urusan pembayaran i-Citra berjalan lancar. Yang pertama mempunyai akaun bank simpanan atau semasa. Kedua, akaun bank tersebut mestilah masih aktif dan ketiga akaun bank tersebut mestilah di atas nama ahli sendiri (bukan akaun bersama/ syarikat). Sekiranya ahli tidak mempunyai akaun bank (berstatus muflis), ahli boleh memohon pembayaran i-Citra secara Arahan Bayaran ketika membuat permohonan di portal i-Citra Online. Bagaimanapun, pembayaran i-Citra melalui kaedah Arahan Bayaran akan mengambil masa dan ahli perlu hadir ke cawangan pilihan bagi urusan pengambilan Arahan Bayaran tersebut.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: