Taklimat Klik Dengan Bijak (Berita Palsu) Live
17 Julai 2021 | Aktiviti TerkiniPada 16 Julai 2021, Jumaat yang lalu, Pusat Internet Komuniti (PIK) Lawang dengan kolaborasi bersama Pusat Internet Komuniti (PIK) Batu Gajah, Karangan dan juga Repek telah mengadakan Taklimat Klik Dengan Bijak Live bersama-sama dengan tajuk “Berita Palsu” yang dijalankan secara atas talian selama satu (1) jam yang bermula pada pukul 10.30 pagi hingga 11.30 pagi. Tujuan program ini dijalankan adalah untuk menyampaikan taklimat advokasi bagi memberi kesedaran terhadap masyarakat tentang bahaya dan risiko menyebarkan maklumat atau berita palsu. Di dalam sesi pada hari tersebut, pihak Pusat Internet Komuniti telah menerangkan kepada komuniti apa itu “Berita Palsu”. Berita palsu adalah maklumat yang disebarkan tanpa kesahihan serta bukti yang sah dan boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif jika tidak dibendung penyebarannya.
Seterusnya, staf Pusat Internet Komuniti (PIK) juga turut berkongsi empat jenis maklumat tidak tepat,palsu atau tanpa pengesahan iaitu yang pertama adalah gosip di mana ia merupakan kandungan perbualan atau laporan mengenai orang lain dan biasanya melibatkan maklumat yang tidak sah atau tidak benar. Yang kedua pula adalah khabar angin iaitu cerita yang tiada kepastian disampaikan secara berulang-ulang daripada seseorang kepada orang lain mengenai sesuatu peristiwa, objek, terbitan dan sebagainya. Ketiga pula adalah spekulasi di mana ia merupakan pembentukan teori atau sangkaan semata-mata tanpa bukti yang kukuh. Yang terakhir adalah penipuan iaitu sesuatu perbuatan yang bertujuan untuk menipu atau membuat helah kepada orang lain.
Untuk memastikan sesuatu maklumat atau berita itu benar atau sahih sebelum disebarkan kita boleh memeriksanya dengan mengikuti empat (4) langkah ini. Langkah pertama adalah sentiasa periksa kesahihan maklumat yang diterima lebih dari satu kali. Kedua pastikan sumber maklumat itu dari pihak yang benar. Ketiga siasat latar belakang penulis atau penyebar maklumat tersebut dan yang keempat bertanya kepada orang yang lebih layak seperti pihak berkuasa atau layari portal www.sebenarnya.myuntuk mengetahui kesahihan berita. MCMC telah memperkenalkan portal dan aplikasi sebenarnya.my supaya orang ramai dapat menyemak kesahihan maklumat yang diterima serta melaporkan maklumat yang tidak pasti kesahihannya. Kesimpulan daripada topik pada hari ini ialah sentiasa menggunakan penilaian anda. Banyakkan membaca, analisa apa yang telah anda baca dan buatlah kesimpulan yang bijak berkenaan topik dibaca. Jadilah pengguna yang bijak berkongsi, tidak pasti jangan kongsi.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: