Tutorial Membuat Resume (Ms Power Point) Live
10 Mei 2021 | Aktiviti TerkiniPada 9 Mei 2021, Ahad, PIK Lawang dan PIK Karangan telah menyertai sesi Tutorial Membuat Resume menggunakan Ms Power Point anjuran PIK Batu Gajah yang diadakan secara atas talian melalui aplikasi StreamYard selama satu (1) jam. Memandangkan isu pandemik Covid19 yang masih belum reda, kebanyakan kelas bersemuka masih tidak boleh dijalankan bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid19.
Resume adalah dokumen rasmi yang dibuat oleh pemohon yang sedang mencari pekerjaan untuk memperincikan kelayakan jawatannya. Resume biasanya disertakan dengan surat sokongan yang disesuaikan di mana pemohon menyatakan minat terhadap pekerjaan atau syarikat tertentu dan menarik perhatian kepada spesifikasi yang paling relevan pada resume. Dalam erti kata lain, resume merupakan ringkasan peribadi meliputi sejarah professional dan kelayakan akademik seseorang. Resume turut merangkumi maklumat matlamat atau objektif kerjaya anda, latar belakang pendidikan, pengalaman pekerjaan, pencapaian cemerlang serta kemahiran-kemahiran lain yang anda ada. Lazimnya, panjang sesebuh resume tidak melebihi tiga atau empat muka surat.
Sepanjang proses memohon pekerjaan, resume merupakan dokumen asas yang perlu ada yang disediakan oleh pemohon, Bagi melahirkan gambaran awal yang positif terhadap permohonan anda, resume sepatutnya disediakan dengan baik dan kemas dengan menggunakan komputer. Menulis dengan tulisan tangan adalah tidak digalakkan kerana bimbang tulisan tangan anda sukar dibaca atau tulisan tidak kemas dan tidak jelas sekali gus mengelakkan resume anda berakhir di dalam tong sampah sebelum sempat dipertimbangkan.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: