Kelas Membaca Murid Darjah 1
9 Februari 2021 | Aktiviti TerkiniPada 8 Februari 2021, Isnin yang lalu, telah diadakan Kelas Membaca Secara Atas Talian dan juga secara bersemuka bagi Murid Darjah 1 di Pusat Internet Komuniti (PIK) Lawang selama dua (2) jam melalui aplikasi “Google Meet” dan secara bersemuka bermula jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengahari. Tujuan program ini dijalankan adalah untuk membantu para pelajar darjah 1 yang masih lagi tidak boleh membaca dengan lancar. Program ini mampu mengurangkan masalah buta huruf dan lambat membaca dalam kalangan murid-murid.
Kemahiran membaca merupakan kemahiran yang sangat penting yang perlu ada dalam diri seseorang manusia. Kemahiran membaca ini sangat diperlukan oleh seseorang itu kerana membaca merupakan salah satu cara untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Dalam konteks negara Malaysia, pendidikan asas di Malaysia menitikberatkan tiga kemahiran yang utama atau 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira. Seseorang pelajar mestilah mempunyai tiga kemahiran asas tersebut sejak sekolah rendah lagi. Namun begitu, masih terdapat ramai pelajar yang tidak menguasai tiga kemahiran asas tersebut, terutama sekali kemahiran membaca dan menulis. Kemahiran membaca dan menulis merupakan dua kemahiran yang sangat berkait rapat antara satu sama lain. Secara logiknya, seseorang yang mempunyai kemahiran membaca akan mempunyai kemahiran menulis. Sebaliknya, jika seseorang itu tidak menguasai kemahiran membaca, sudah pastilah dia juga tidak akan menguasai kemahiran menulis. Hal ini menunjukkan kemahiran membaca ini sangat penting dan sekiranya tidak dikuasai akan mempengaruhi proses pembelajaran pelajar di sekolah. Malah, lebih parah lagi sekiranya masalah membaca ini tidak diatasi semasa di peringkat sekolah akan menyebabkan seseorang pelajar itu tidak boleh membaca dan menulis ketika memasuki alam pekerjaan. Selain itu, sekiranya pelajar-pelajar yang tidak boleh membaca ini “terlepas” sehingga tamat pengajian mereka di peringkat sekolah menengah, maka pelajar-pelajar ini akan lebih susah untuk menguasai kemahiran membaca kerana tidak ada bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru-guru.
Pertama sekali, pelajar diajar Kemahiran Membaca I. Kemahiran Membaca I ialah proses menghasilkan bunyi-bunyi perkataan bersuku kata terbuka (KV). Pada tahap ini, pelajar dikehendaki melahirkan bunyi-bunyi fonem bagi setiap suku kata dan kemudiannya menggabungkan bunyi-bunyi fonem tersebut untuk mendapatkan bunyi output suku kata tersebut. Proses seterusnya pelajar dikehendaki mencantumkan bunyi-bunyi output suku kata bagi perkataan tersebut untuk mendapatkan output sebenar perkataan itu. Setelah selesai pengajaran Kemahiran I, pelajar diajar Kemahiran Membaca II. Kemahiran Membaca II ialah proses menghasilkan bunyi-bunyi perkataan bersuku kata tertutup (KVK). Pada tahap ini, pelajar dikehendaki membunyikan suku kata tertutup KVK dengan menggabungkan bunyi [K] dengan bunyi [VK]. Sebelum pelajar menguasai kemahiran menghasilkan bunyi K + VK, pelajar mestilah diajar proses menghasilkan bunyi [VK] terlebih dahulu dan kemudian barulah menggabungkan bunyi [K] dengan bunyi [VK] untuk mendapatkan output bagi bunyi suku kata tertutup. Seterusnya, pelajar diajar Kemahiran Membaca III. Kemahiran Membaca III ialah proses menghasilkan bunyi-bunyi perkataan yang dihadiri oleh dua urutan vokal atau lebih.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: