Bual Bicara bersama Proton Wasilah Mentakab (Agensi Swasta)
26 Jun 2021 | Aktiviti TerkiniPada 25 Jun 2021, Jumaat yang lalu, Pusat Internet Komuniti (PIK) Lawang dengan kerjasama PIK Repek telah mengadakan Sesi Bual Bicara bersama Agensi Swasta - Proton Wasilah Mentakab bersama panel jemputan, Encik Mohd Badrun Iman bin Ramli, Penasihat Jualan Proton Wasilah Mentakab, Pahang. Sesi bual bicara ini telah berlansung selama satu (1) jam yang bermula pada pukul 10.15 pagi hingga 11.15 pagi secara atas talian menggunakan “Stream Yard dan FB Live”. Program ini adalah bertujuan untuk menyampaikan maklumat kepada komuniti serta memberi info berguna kepada komuniti di luar sana faktor-faktor yang perlu diambil kira sebelum membuat keputusan untuk membeli sebuah kereta baru.
Ramai orang membuat kesilapan ketika membeli kereta pertama mereka. Keterujaan untuk memiliki kereta idaman membuatkan mereka lupa untuk meneliti beberapa faktor penting yang perlu diambil kira. Paling menakutkan, ada segelintir pembeli kereta hanya memandang rekabentuk luaran. Asalkan cantik, beli terus.Tahukah anda, bahawa kereta merupakan liabiliti. Dengan memiliki kereta, anda perlu mengeluarkan wang untuk pembayaran ansuran, takaful kenderaan, cukai jalan, servis enjin, servis tayar, minyak enjin, minyak gear, ganti wiper, dan lain-lain lagi.
Di dalam sesi bual bicara kali ini,terdapat lima (5) faktor yang telah diceritakan oleh Encik Iman iaitu yang pertama kewangan, kedua pula kehendak atau keperluan. Keperluan adalah perkara yang patut didahulukan oleh pembeli sebelum membuat keputusan. Perlu kenal pasti apa tujuan anda membeli kereta tersebut. Jika kereta yang bakal dibeli merupakan kegunaan harian ke tempat kerja atau mencari wang, itu merupakan satu keperluan namun biarlah berpada-pada dengan kemampuan. Beli apa yang anda mampu, bukan yang anda mahu. Antara kesilapan pertama yang sering dilakukan oleh orang ramai pada hari ini ialah membeli kereta dengan harga yang melebihi kemampuan. Hampir separuh daripada daripada gaji bulanan digunakan untuk membayar ansuran bulanan kereta.
Yang ketiga pula, pengguna harus memikirkan segala komitmen yang ada sebelum membuat keputusan untuk membeli kereta. Formula bank dalam meneliti kelulusan pinjaman adalah dengan mengira ansuran kereta tidak melebihi 1 per 3 gaji bersih. Jika gaji anda RM2000, menurut perkiraan bank, anda mampu untuk membeli kereta dengan bayaran ansuran bulanan sekitar RM650 sebulan sahaja. Pendam terlebih dahulu keinginan untuk memiliki kereta yang lebih mahal kerana ianya bakal membuatkan kewangan anda tersepit.
Keempat pula adalah promosi atau rebat tunai. Kebiasaannya pengeluar kereta akan menawarkan pelbagai diskaun menarik sepanjang tahun bagi menarik perhatian bakal pembeli. Sejujurnya, promosi paling menarik ialah pada musim perayaan. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Malaysia Automotive Association (MAA), jumlah jualan kenderaan meningkat sebanyak 28% pada Mac 2021. Antara faktor utama kepada peningkatan ini ialah promosi menarik semasa musim perayaan dan cukai GST yang diturunkan.
Jadi, jangan tergesa-gesa ketika membuat pembelian kereta. Ambil masa untuk meninjau promosi menarik seperti rebat tunai dan diskaun daripada semua pengeluar kereta tempatan mahupun antarabangsa. Jangan lupa tanya kepada jurujual anda, apa hadiah yang mereka tawarkan jika kamu bercadang untuk membeli kereta dengan mereka.
Yang terakhir iaitu faktor kelima adalah pengguna perlu mengambilkira dari segi penyelenggaraan (maintenance) kereta itu sendiri. Jika kereta tersebut digunakan untuk kegunaan harian ke tempat kerja, faktor jimat minyak ini memang wajib diambil kira. Jika dilihat, kebanyakan pengeluar kereta hari ini mengutamakan dan membangunkan enjin yang jimat minyak dan cekap tenaga. Malah ianya digunakan sebagai unique selling point (USP) bagi mempengaruhi bakal pembeli. Selepas mengambil kira semua faktor di atas, luangkan masa untuk pandu uji kereta idaman anda. Pastikan anda berpuas hati dengan sesi pandu uji tersebut. Antara faktor yang perlu diambil kira ialah keselesaan, pemanduan, kecekapan, respon dan beberapa faktor lain.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: