Taklimat Klik Dengan Bijak - "Risiko Permainan Dalam Talian"
21 September 2021 | Aktiviti TerkiniPada 20 September 2021, Taklimat Klik Dengan Bijak bertajuk Risiko Permainan Dalam Talian telah dikupas oleh staf-staf PIK Lawang bersama-sama dengan staf PIK Batu Gajah, PIK Repek, PIK Karangan dan juga PIK Selising secara atas talian menggunakan platfom 'Stream Yard' dan juga disiarkan secara langsung di halaman Fb PIK Repek selaku hos program hari tersebut. Tajuk ini dipilih pada kali ini ekoran penggunaan gajet atau telefon pintar pada masa kini merupakan satu keperluan tidak kira peringkat umur. Dalam pada masa yang sama staf PIK turut memberi penekanan kepada penggunaan gajet untuk bermain permainan atas talian yang mungkin lebih dilihat banyak berlaku dalam kalangan kita sekarang.
Di dalam perkongsian tersebut, pihak PIK lebih banyak berkongsi kesan negatif di dalam penggunaan telefon pintar sekiranya tidak dipantau atau dibendung dari peringkat awal lagi. Antara kesan negatifnya adalah mendapat waktu tidur yang tidak cukup atau teruk. Tidur dan rehat yang secukupnya sangat penting bagi memastikan tahap kesihatan kita menjadi lebih baik dan badan juga menjadi bertenaga untuk menjalankan tugasan atau tanggungjawab harian. Selain itu, permainan atas talian yang berlebihan juga boleh menyebabkan masalah sistem saraf dan masalah perkembangan otak anak-anak, gangguan emosi, kurangnya fokus terhadap pembelajaran sekaligus menyebabkan penurunan prestasi pembelajaran. Para pengguna juga perlu menitikberatkan perihal wang di dalam permainan atas talian ini kerana anda mungkin tidak menyedarinya atau buat-buat tidak peduli tentang pembaziran wang ringgit yang telah berlaku. Contohnya pengguna membuat belian hadiah dari laman sesawang permainan atas talian tersebut untuk meneruskan permainan selain ada sesetengah pengguna yang sanggup menghabiskan beribu-ribu untuk kelengkapan permainan seperti komputer, kerusi khas untuk pemain dan sebagainya.
Ketagihan bermain dalam talian juga boleh menyebabkan masalah keretakan rumah tangga kerana pasangan mengabaikan tanggungjawab kerana leka bermain permainan atas talian disamping juga menimbulkan masalah konflik perhubungan di alam rumah tangga mereka akibat bertemu jodoh atau kenalan baru yang istimewa di dalam permainan atas talian ini. Namun,sekiranya kita bijak menggunakan kepakaran kita dalam permainan atas talian, kita mampu menjana pendapatan yang lumayan.
Oleh itu, pihak PIK menekankan bahawa semua pihak haruslah memainkan peranan dalam perkembangan teknologi masa kini agar ia memberi manfaat kepada pengguna dan bukan sebaliknya. Jadi, kita mestilah menjadi pengguna yang bijak dalam pada kita mengikuti perkembangan teknologi masa kini. Tidak salah untuk kita bersosial tetapi perlu ingat batas-batasnya, sentiasa waspada dan Klik Dengan Bijak.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: