Kelas Membaca dan Mewarna Atas Talian
19 April 2021 | Aktiviti TerkiniPada 18 April 2021, Ahad yang lalu, telah diadakan Kelas Membaca Secara Atas Talian dan juga acara selingan Kelas Mewarna bagi Murid Darjah 1 di Pusat Internet Komuniti (PIK) Lawang selama dua (1) jam melalui aplikasi “Google Meet” dan enjin carian ‘Google’ bermula jam 11.30 pagi hingga 12.30 tengahari. Tujuan program ini dijalankan adalah untuk membantu para pelajar darjah 1 yang masih lagi tidak boleh membaca dengan lancar. Program ini mampu mengurangkan masalah buta huruf dan lambat membaca dalam kalangan murid-murid.
Kemahiran membaca merupakan kemahiran yang sangat penting yang perlu ada dalam diri seseorang manusia. Kemahiran membaca ini sangat diperlukan oleh seseorang itu kerana membaca merupakan salah satu cara untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Dalam konteks negara Malaysia, pendidikan asas di Malaysia menitikberatkan tiga kemahiran yang utama atau 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira. Pertama sekali, pelajar diajar Kemahiran Membaca I. Kemahiran Membaca I ialah proses menghasilkan bunyi-bunyi perkataan bersuku kata terbuka (KV). Pada tahap ini, pelajar dikehendaki melahirkan bunyi-bunyi fonem bagi setiap suku kata dan kemudiannya menggabungkan bunyi-bunyi fonem tersebut untuk mendapatkan bunyi output suku kata tersebut. Proses seterusnya pelajar dikehendaki mencantumkan bunyi-bunyi output suku kata bagi perkataan tersebut untuk mendapatkan output sebenar perkataan itu.
Setelah selesai pengajaran Kemahiran I, pelajar diajar Kemahiran Membaca II. Kemahiran Membaca II ialah proses menghasilkan bunyi-bunyi perkataan bersuku kata tertutup (KVK). Pada tahap ini, pelajar dikehendaki membunyikan suku kata tertutup KVK dengan menggabungkan bunyi [K] dengan bunyi [VK]. Sebelum pelajar menguasai kemahiran menghasilkan bunyi K + VK, pelajar mestilah diajar proses menghasilkan bunyi [VK] terlebih dahulu dan kemudian barulah menggabungkan bunyi [K] dengan bunyi [VK] untuk mendapatkan output bagi bunyi suku kata tertutup. Seterusnya, pelajar diajar Kemahiran Membaca III. Kemahiran Membaca III ialah proses menghasilkan bunyi-bunyi perkataan yang dihadiri oleh dua urutan vokal atau lebih.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: