Program Sambutan Hari Malaysia dan Kuiz Hari Malaysia
18 September 2021 | Aktiviti TerkiniHari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penggabungan bersama Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Pada tahun ini Malaysia menyambutnya untuk kali ke-58 tahun selepas diisytiharkan pada 16 September 1963 oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Walaupun pada awalnya Hari Malaysia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, namun mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia. Pada 17 September 2021, Jumaat yang lalu, Pusat Internet Komuniti (PIK) Lawang telah menjayakan satu program sambutan Hari Malaysia bersama-sama komuniti setempat secara atas talian menggunakan aplikasi Zoom memandangkan kita masih belum menang melawan pandemik Covid19. Tujuan program ini dijalankan adalah untuk memperingati, menghayati dan memahami sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia demi mengekalkan Malaysia sebagai negara berdaulat. Justeru, selepas pada tayangan video Hari Malaysia dan sedikit penerangan kepada para peserta, mereka diberikan masa untuk menjawab Kuiz Hari Malaysia yang disediakan oleh PIK Lawang.
Sambutan Hari Malaysia juga wajar kita gunakan untuk memperingati jasa dan sumbangan para pemimpin dan pahlawan negara terdahulu yang telah berjuang mengangkat martabat dan maruah bangsa dan negara daripada belenggu penjajahan asing. Semoga ilmu dan penerangan yang disampaikan oleh PIK Lawang hari ini berguna dan memberi pengetahuan untuk para peserta. Selamat Hari Malaysia ke-58 tahun untuk semua warga Malaysia.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: