Pengurusan Kewangan dalam Musim Pandemik bersama Koperasi UMK Berhad bersama Staf PIK Maxis Kelantan
10 Oktober 2021 | Aktiviti TerkiniRancangan Perniagaan atau RP ialah dokumen yang menerangkan secara terperinci berkenaan dengan selok belok sesebuah perniagaan termasuk pelan awal, keperluan modal, rancangan pemasaran, jualan dan unjuran keuntungan. Selain daripada merekodkan informasi penting yang berkaitan dengan sesebuah syarikat dan perniagaan, rancangan perniagaan juga penting dalam usaha untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi institusi kewangan. Antara kegunaan rancangan perniagaan adalah membolehkan usahawan membuat penilaian terhadap perniagaan yang bakal atau sedang dijalankan dari pelbagai sudut teknikal dan kewangan. Yang kedua adalah dapat menjadi panduan selepas operasi perniagaan dilancarkan. Seterusnya RP juga boleh dibuat sebagai kajian pasaran serta menilai sama ada perniagaan mempunyai prospek atau potensi untuk maju atau sebaliknya. RP juga dapat meyakinkan institusi kewangan atau pihak yang mampu memberikan pinjaman perniagaan menerusi dokumentasi yang lengkap.
Bagi mempelajari topik ini, pihak Koperasi UMK Berhad telah mengadakan kursus Latihan Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi (Siri III) untuk semua staf Pusat Internet Komuniti Maxis Kelantan bagi melatih mereka dalam bidang keusahawan. Pengurus dan Penolong Pengurus PIK bagi 16 buah PIK di Kelantan telah menyertai kursus tersebut yang telah berlangsung selama 2 hari iaitu pada 8 hingga 9 Oktober 2021 yang diadakan secara atas talian menggunakan medium Google Meet. Seramai 32 peserta telah menghadiri program ini yang merangkumi keseluruhan 16 buah pusat internet Komuniti (Maxis) di seluruh Kelantan dengan tajuk pengurusan kewangan dalam musim pandemik.
Taklimat keusahawanan ini disampaikan oleh En Hashim Bin Ahmad Shiyuti yang juga merupakan pelajar PHD di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu. Program ini bertujuan memberi tunjur ajar kepada kakitangan PIK untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan peserta dapat menyampaikan maklumat yang diperolehi kepada komuniti setempat. Peserta didedahkan dengan panduan rancangan perniagaan dan pemasaran secara sistematik mengikut spesifikasi yang betul. Selain itu, peserta diajar cara membuat sistem perakaunan perniagaan menggunakan perisian Microsoft Excel. Program ini dapat membantu peserta untuk menyampaikan maklumat berguna kepada komuniti sekitar Pusat Internet Komuniti yang berminat dan telah menceburi bidang keusahawanan.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: