Kem Cuti Sekolah eKelas Maxis
25 November 2018 | Aktiviti TerkiniPada 21hb hingga 24hb November 2018 yang lalu, seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 dari seluruh Malaysia telah menyertai Kem Cuti Sekolah eKelas anjuran Maxis yang bertempat di Hotel Puri Pujangga, UKM Bangi, Selangor. Seramai 3 orang peserta dari Pusat Internet Kampung Lawang telah terpilih untuk menyertai Kem Cuti Sekolah ini. Pemilihan pelajar adalah berdasarkan kekerapan pelajar menghadiri kelas dan juga melayari Portal eKelas. Setiap kali mereka menggunakan Portal dan juga menghadiri kelas Live Tutorial eKelas, mereka akan mendapat markah pencapaian. Daripada markah mereka inilah yang menyebabkan mereka terpilih daripada jumlah 6000 pelajar yang berdaftar.
Pihak penganjur telah mengatur jadual dan aktiviti yang sangat menarik untuk adik-adik ini sepanjang Kem Cuti Sekolah berlansung. Pihak penganjur juga telah bekerjasama dengan pihak UKM, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) untuk turut menjayakan program ini supaya para peserta mendapat lebih pendedahan dengan program-program daripada FTSM seperti Projek Animasi, Projek Robotik dan juga Projek Android. Selain aktiviti menggunakan ICT dan teknologi, adik-adik ini juga turut didedahkan dengan aktiviti riadah atau sukan yang dapat membentuk kecergasan fizikal adik-adik.
Di samping itu juga, pihak penganjur turut mengadakan Jamuan Makan Malam bagi meraikan para peserta yang terlibat dengan Kem Cuti Sekolah ini yang diadakan di Lobi utama Hotel Puri Pujangga. Persembahan daripada adik-adik PI Kg Taee turut dipersembahkan kepada para peserta yang lain. Selain itu, staf Maxis dan juga Pengurus PI turut sama membuat persembahan untuk menghiburkan semua yang hadir.
Acara kemuncak bagi Kem Cuti Sekolah ini adalah pelancaran program Portal eKelas dan juga Live Tutorial eKelas yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Eddin Syazlee Shith, yang merupakan Timbalan Menteri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Robert selaku CEO Maxis Sdn Bhd. Majlis ini mendapat liputan luas daripada sidang media dan televisyen Malaysia. Setelah selesai majlis perasmian, para peserta di bawa ke Petrosains untuk mendedahkan mereka kepada dunia teknologi dan Sains yang terdapat di Malaysia. Para peserta sangat teruja dengan kembara ini. Sepanjang tempoh Kem Cuti Sekolah ini berlansung, para peserta diiringi oleh seorang Pengurus atau Penolong Pengurus dari setiap Pusat Internet yang terlibat.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: