Kelas Tambahan Matematik Tahap 2
27 Mei 2017 | Aktiviti TerkiniSeramai sebelas orang peserta telah menyertai Kelas Tambahan (Tuisyen) Matematik yang telah diadakan di Pusat Internet 1 Malaysia Kampung Lawang. Kelas ini diadakan pada jam 10.00 pagi sehingga 12.30 tengahari yang dihadiri oleh pelajar tahap dua. Kelas ini bertujuan mengisi masa cuti pelajar. Tuisyen merujuk kepada bimbingan tambahan yang diberikan kepada pelajar-pelajar bagi mata pelajaran tertentu. Perkataan tuisyen berasal daripada perkataan bahasa inggeris iaitu ‘tuition’ yang membawa maksud ‘pengajaran’.
Secara amnya, tuisyen diperlukan oleh pelajar-pelajar yang menghadapi kesukaran atau tertinggal dalam mata pelajaran tertentu. Pelajar-pelajar berkenaan mungkin menghadapi pelbagai kekangan seperti tidak minat belajar, sukar untuk memahami tentang sesuatu subjek dan tidak dapat memberi tumpuan dan perhatian di dalam kelas sehingga pelajar berkenaan tertinggal dalam pelajaran. Maka dalam keadaan inilah seseorang pelajar memerlukan tuisyen iaitu bimbingan tambahan.
Terdapat banyak faktor yang mendorong pelajar tertinggal pelajaran di dalam kelas. Antara faktor utama ialah jumlah pelajar yang terlalu ramai di dalam sesebuah kelas iaitu sekitar 30 hingga 40 pelajar. Apabila terlalu ramai, guru sekolah tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajar-pelajar ini. Selain itu, pelajar juga boleh tertinggal kerana faktor persekitaran seperti kebersihan kelas, pergaulan yang tidak terkawal dan waktu belajar yang terlalu panjang.
Peranan tuisyen sebenarnya tidak terletak pada penyampaian ilmu pengetahuan baru kepada pelajar sebaliknya tuisyen lebih berperanan dalam pengukuhan ilmu pengetahuan yang telah dipelajari oleh pelajar di sekolah. Ramai yang menyalah anggap peranan tuisyen yang sebenar dan meletakkan peranan tuisyen seperti pembelajaran di sekolah. Peranan utama tuisyen adalah pelatihan (coaching), para pelajar akan dilatih oleh guru tuisyen/tutor untuk menguasai pemahaman tentang sesuatu subjek disamping memberi latihan dan latih tubi (bergantung kepada jenis subjek).
Pusat tuisyen menawarkan pelbagai kelebihan untuk pelajar-pelajarnya. Seperti Pusat Tuisyen yang diadakan di Pusat Internet (PI) Lawang. Pusat internet yang hanya bukan menyediakan kemudahan ICT malah menyediakan kelas yang membantu pelajar dalam masalah pembelajaran iaitu dengan menyediakan kelas tambahan. Elemen ini adalah penting agar penyampaian ilmu pengetahuan dapat disampaikan dengan lebih sempurna. Oleh itu, Pusat Tuisyen di PI telah menghadkan pengambilan pelajar yang tidak terlalu ramai (lingkungan 10 hingga 12 pelajar sahaja setiap kelas). Dengan cara ini, guru tuisyen atau tutor dapat mengenal pasti setiap kelebihan dan kelemahan para pelajar-pelajar dengan lebih terperinci, secara tidak langsung pelajar-pelajar dapat memberi perhatian dalam sesi pembelajaran kelas.
Selain itu, Pusat Tuisyen di PI amat menekankan soal kebersihan dan keceriaan kelas. Soal kebersihan adalah penting agar pelajar dapat belajar dalam keadaan selesa dan tenang. Buat masa sekarang Pusat Tuisyen di PI mengadakan kelas pada waktu siang dan pagi serta kelas pada hujung minggu. Pusat Tuisyen di PI Lawang juga sentiasa cakna dan berusaha untuk tidak membebankan para ibubapa dan penjaga dengan mengenakan bayaran yuran yang sangat berpatutan.
Justeru, pilihan untuk belajar tuisyen adalah satu pilihan yang sangat tepat. Penuhi aktiviti pelajar dengan perkara-perkara yang dapat memberi manfaat untuk masa hadapan mereka. Pupuklah minat dan minda generasi-generasi muda ini agar terus dahagakan ilmu pengetahuan. Pusat Tuisyen di PI Lawang sedaya-upaya membantu para pelajar untuk memperoleh kejayaan yang lebih cemerlang.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: