Program Celik IT 2017 Bersama Tabika Perpaduan Lawang
22 Mei 2017 | Aktiviti TerkiniPada 21 Mei 2017 telah diadakan Program Celik IT 2017 bersama anak-anak cilik daripada Tabika Perpaduan Lawang. Program ini diadakan di Pusat Internet 1 Malaysia (PI) Lawang. Internet tanpa sempadan, semudah hanya klik di hujung jari, merupakan satu kemudahan yang kian menyeluruh kini di seluruh negara. Sebaik penggunaannya, Internet juga memiliki 1001 unsur negatif yang boleh memberikan kesan buruk kepada penggunanya. Tambahan pula, penggunaan gajet pintar seperti telefon dan tablet memudahkan sesiapa sahaja melayari internet tanpa sebarang kekangan. Masalah tersebut bertambah buruk kepada golongan remaja dan belia jika tidak diberi sebarang kesedaran.
Kerajaan menyedari golongan tersebut amat mudah terpedaya serta terikut-ikut dengan budaya negatif dari dalam alam maya. Menurut Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian, Penguatkuasaan dan Advokasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Zulkarnain Mohd. Yasin, pihaknya telah dipertanggungjawab melaksanakan program kesedaran awam. Jelas Zulkarnain, antara inisiatifnya adalah Program Klik Dengan Bijak (KDB) untuk memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya etika penggunaan internet secara positif.
“Program ini menyasarkan pelajar yang berumur dalam lingkungan 4 – 5 tahun, mereka yang paling terdedah kepada gejala jenayah dan salah laku siber jika tiada pengawasan daripada ibu bapa. Program ini juga memberi pendedahan kepada Klik dengan Bijak (KDB). KDB menggunakan tiga aspek sebagai teras utama iaitu keselamatan, waspada dan tanggungjawab,” katanya. Program kesedaran perlu dilaksanakan bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja celik IT malah memiliki kawalan kendiri yang terbaik agar tidak terjebak dengan pelbagai perkara negatif menerusi Internet. Generasi Y dan Z yang kerap menggunakan Internet dan komunikasi digital dalam kehidupan seharian.
Perkembangan positif Pusat Internet 1 Malaysia membuktikan Internet merupakan medium komunikasi terkini yang menjanjikan satu platform penyebaran maklumat yang penuh informasi serta amat digemari golongan belia. Bagaimanapun penggunaan teknologi dan Internet jika di salah guna boleh dijadikan sebagai tempat penyebaran maklumat yang tidak tepat. Sesetengah maklumat yang disebarkan juga memiliki unsur fitnah yang boleh mengancam keselamatan orang awam dan juga negara.
KDB sasar semua peringkat usia
Program Klik Dengan Bijak (KDB) tidak hanya mensasarkan golongan belia namun lebih menyeluruh dalam sesebuah keluarga. KDB diwujudkan bagi mendidik semua lapisan masyarakat terutama kanak-kanak, remaja, ibu bapa dan para penjaga tentang langkah utama yang perlu diperhati dan diamalkan semasa melayari Internet.
Ditubuhkan pada Julai 2012, inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan penggunaan Internet kini telah mencecah hampir 20,000 program. KDB menyasarkan mereka yang lebih terdedah kepada jenayah siber dan penyalahgunaan dalam talian terutamannya kanak-kanak dan remaja.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: